Biarpun dicemuh masyarakat kerana
membela lebih 400 anjing, ia tidak menghalang pasangan suami isteri, Md Azmi
Ismail, 54, dan Halija Idris, 64, untuk terus memelihara haiwan berkenaan di Belakang
Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar, Kedah. Md
Azmi berkata, tidak terlintas untuk membela haiwan berkenaan, tetapi terdetik
hati untuk menjaga dan merawat haiwan itu apabila kasihan melihat anak anjing
cedera di dalam longkang berhampiran sebuah pasar raya, kira-kira 10 tahun
lalu.
Katanya, sejak itu dia dan isteri
akan membawa pulang seberapa banyak anjing terbiar yang dijumpai di jalanan ke
rumah mereka di Taman PKNK, sebelum mengambil keputusan berpindah ke kabin yang
dihuni sekarang. Menurutnya, mereka sudah lali mendengar cemuhan orang ramai
apabila melihat mereka memegang anjing.
“Dulu, saya hanya memberi makan anjing dan kucing di kawasan perumahan, namun berikutan pandangan tidak senang
jiran, kami mengambil keputusan berpindah dari situ. Bermula dengan seekor anjing, kini bilangannya mencecah 420 anjing pelbagai jenis serta 200 kucing,”
Bekas pekerja kontrak itu berkata,
setiap hari isterinya menyediakan makanan untuk semua haiwan terbabit yang
memerlukan lebih 40 kilogram (kg) beras dan 10 kg ikan membabitkan kos RM500.
Katanya, selain memberi makanan kepada semua haiwan di situ, mereka berdua
merawat anjing atau kucing yang sakit, malah di pusat perlindungan haiwan
terbiar itu ada kira-kira enam anjing kurang upaya, termasuk menghidap penyakit
ala sindrom down dan kanser kulit.
“Walaupun terpaksa menanggung kos tinggi, kami gembira kerana sehingga kini saya tidak pernah berdepan dengan
masalah dalam menyediakan makanan dan ubat-ubatan. Banyak pihak terutama
individu tampil membantu menaja makanan serta ubat untuk haiwan di sini, serta membina tempat perlindungan baru yang berharga lebih RM30,000,”
Menurut Md Azmi, haiwan di situ
bagaikan anak-anaknya dan mereka suami isteri tidak sanggup menjual haiwan itu
walaupun pernah ditawarkan lebih RM1,000. Bagi Halijah, biarpun pernah dicakar
haiwan berkenaan, namun dia tidak benci, sebaliknya semakin sayang dan akan
terus membela haiwan itu.
“Masa kami suami isteri banyak dihabiskan untuk haiwan di sini walaupun
kami terpaksa tidur dalam kabin dikelilingi haiwan comel ini. Saya gembirakerana dapat berbakti kepada anugerah Allah ini walaupun dipandang
serong masyarakat. Namun, keikhlasan kami turut dihargai sesetengah pihak hingga ada yang sudi menanggung kos ubat atau rawatan haiwan yang sakit,”
Ibu kepada tiga anak itu berkata,
dia tidak pernah menyesal dengan tindakan mereka berpindah dari rumah sendiri
dan tinggal dalam kabin semata-mata ingin menjaga haiwan terbiar.
No comments:
Post a Comment